Dalam keadaaan kos sara hidup yang semakin meningkat, sudah tiba masanya kita melihat kembali cara kita berbelanja bagi memastikan perbelanjaan kita adalah mengikut keperluan.

Sebagai langkah awal, kita boleh mulakan dengan sesuatu yang pada masa kini menjadi barang keperluan iaitu telefon bimbit.

Sebelum kita membeli telefon bimbit, ada beberapa perkara yang perlu diambilkira supaya perbelanjaan untuk memiliki telefon bimbit tersebut mengikut kemampuan kita. Antaranya ialah:

1. Memilih telefon bimbit yang sesuai

Tanya pada diri sendiri keperluan telefon bimbit kepada kita, sama ada untuk;

-Menerima atau membuat panggilan
-Menerima dan menghantar mesej
-Mengambil gambar
-Melayari internet
-Penunjuk arah GPS
-Kesemua di atas

Ramai sedia maklum bahawa harga telefon bimbit tertakluk kepada ciri-ciri atau kelebihan yang ada padanya. Oleh itu, pilihlah telefon bimbit yang menepati keperluan kita bukannya kerana tertarik dengan pelbagai ciri yang ada pada telefon bimbit tersebut yang pastinya memerlukan kita membayar harga yang tinggi, tetapi akhirnya tidak pernah atau tidak tahu menggunakannya.

Sentiasa ingat ...Bijak Memilih, Bijak Berbelanja... Banyak Kelebihannya.

2. Memilih pakej pelan yang sesuai

Dari perspektif perbelanjaan jangka panjang. pemilihan pakej pelan yang sesuai mengikut keperluan individu ialah pemilihan yang paling penting yang perlu kita buat. Terdapat pelbagai pakej pelan yang disediakan oleh pihak pembekal perkhidmatan selular pada masa ini. Ada pakej prabayar, pascabayar dan pembelian minit.

Jika anda seorang yang jarang menggunakan telefon, pakej bayar mengikut penggunaan sepatutnya menjadi pilihan kerana anda hanya akan dicajkan mengikut penggunaan sebenar.

Bagi pengguna yang sukar untuk mengawal perbelanjaan penggunaan telefon, lebih sesuai menggunakan talian prabayar. Golongan ini perlu menambah nilai bila perlu untuk menggunakannya. Had kredit dibayar akan menyekat pengguna ini daripada berbelanja besar untuk berkomullikasi.

Mereka yang kerap menggunakan telefon pula sesuai untuk memilih pakej pembelian minit kerana anda akan dicaj untuk jumlah minit yang digunakan tidak kira panggilan dibuat ke mana-mana pembekal perkhidmatan.

Langkah bijak sebelum kita membeli pakej pelan ialah kita perlu membuat perbandingan pakej pelan yang sedia ada dalam pasaran dan mencari yang terbaik dan bersesuaian dengan keperluan kita.

3. Memilih cara komunikasi yang sesuai

Apakah motif anda menghubungi penerima?

-Memerlukan penjelasan ringkas? Menghantar pesanan ringkas mungkin sudah memadai.

-Memerlukan penjelasan yang lebih lanjut? Panggilan terus kepada penerima adalah lebih murah berbanding menghantar pesanan ringkas yang berulang kali. Contohnya: anda menghantar pesanan ringkas sebanyak tiga kali. Setiap pesanan ringkas yang dihantar dicaj 10 sen, maka jumlah yang dicajkan adalah 30 sen. Dalam hal ini, membuat panggilan adalah lebih murah kerana dengan 30 sen anda boleh bercakap lebih daripada seminit dan lebih banyak perkataan boleh dilontarkan.

Dari itu, wajarlah kita berfikir sejenak sebelum mengambil keputusan membeli telefon bimbit agar ia benar-benar mengikut keperluan dan kemampuan kita.