Kerja itu Ibadah dan Amanah. Pada pekerjaan itu ada barakah…....

"Kadang-kala aku tertanya-tanya........Pendapatan mereka tidak seberapa, zahirnya tidak mampu menampung sebuah keluarga. Tetapi mereka gembira kerana mereka hidup berpada-pada. Pada wajah mereka terpancar tanda-tanda bahagia. Kenapa aku sebaliknya......? Apakah rahsia mereka......?”

Kafeteria BNM, 8.02 pagi…

Pagi itu ketika bersarapan aku terserempak dengan Mohsin, rakan sekerja dan seangkatan denganku yang sudah lama tidak kelihatan kelibatnya.

"Assalamualaikum Mohsin, lama tak jumpa. Apa berita?”.

Salamku disambut mesra olehnya. Itulah Mohsin yang kukenali sejak 25 tahun yang lalu, sentiasa berwajah ceria. Riak mukanya bersih, sentiasa tersenyum, mudah disapa dan tidak pernah menampakkan kegelisahan.

Kami memulakan bicara, perihal keluarga masing-masing menjadi topik perbualan. Aku menanyakan hal anaknya yang lima orang. Mohsin dengan ceria dan bersyukur memberitahu yang anaknya yang sulong telah bekerja, nombor 2, 3 dan 4 masih di pusat pengajian tinggi manakala yang bongsu masih bersekolah di sekolah asrama penuh di selatan tanah air dan akan menempuh peperiksaan SPM tahun ini. Kagum aku mendengar kisah Mohsin. Semua anak-anaknya berjaya. Walaupun pangkat dan pendapatannya sederhana dan mempunyai isteri yang tidak bekerja, Mohsin mampu membina sebuah keluarga bahagia dan berjaya. Raut wajahnya menampakkan ketenangan dan kebahagiaan dalam dirinya.

”Apa rahsia kau Mohsin?”, aku cuba mencungkil rahsia.

Mohsin tersenyum. "Alhamdulillah, mungkin barakah agaknya”, jawab Mohsin ringkas.

Menurut Mohsin, barakah itu penting. Barakah mencukupkan rezeki yang sedikit. Untuk mendapatkannya, memerlukan keikhlasan dalam segala perbuatan, termasuklah juga dalam pekerjaan. Anggaplah pekerjaan itu sebagai ibadah dan amanah yang menuntut kepada keikhlasan dalam melaksanakannya.

"Apabila pekerjaan sudah dianggap satu ibadah, dan kita ikhlas melakukan ibadah itu, sudah tentulah segala peraturan mesti dipatuhi. Amanah yang diberi tidak sekali-kali dikhianati, walaupun yang disalahgunakan itu hanyalah sebatang pensil!. Bayangkan pensil yang diamanahkan kepada kita itu di bawa pulang ke rumah dan diberi kepada anak untuk digunakan. Anak pula gunakan pensil tersebut untuk menjawab soalan peperiksaan. Sudah tentu tiada keberkatan di situ dan jangan salahkan sesiapa sekiranya keputusan peperiksaan anak tidak seperti yang kita harapkan” tegas Mohsin serius.

Aku terpegun. Benar kata Mohsin. Jika di tempat kerja kita beramanah, sudah tentu kita tidak menyalahgunakan harta organisasi. Jauh sekali melakukan pembaziran dan penyelewengan dalam bekerja. Ini mengingatkan aku pesan Nabi Muhammad S.A.W. kepada Saad ibn Abi Waqqas supaya tidak membazirkan air ketika mengambil wuduk. Kalau dalam hal yang wajib seperti berwuduk pun Nabi berpesan supaya tidak membazir, inikan pula dalam perkara-perkara lain yang diamanahkan kepada kita.

Mohsin menyambung perbualan ”Setiap hari aku bermuhasabah untuk memastikan semua kerja yang telah aku lakukan pada hari itu adalah yang terbaik. Pada aku bekerja dengan bersungguh-sungguh dan penuh tanggungjawab menambah keberkatan rezeki. Bagi aku mutu kerja juga mesti sentiasa dipertingkatkan seperti kata Imam Al Ghazali "Hari ini adalah lebih baik dari semalam, dan hari esok adalah lebih baik dari hari ini".

Jam menunjukkan hampir ke jam 8.25 pagi. Mohsin berhenti berbicara dan meminta izin untuk beredar kerana waktu kerjanya bermula jam 8.30 pagi. Masa itu juga amanah baginya. Tidak patut masa untuk majikan disalahguna dengan berbual kosong di kafeteria. Aku kagum dengan sikap amanah rakan sekerjaku. Padanlah barakah sentiasa mesra mendampinginya....

Setelah Mohsin berlalu, aku segera menghabiskan makanan di pinggan untuk ke tempat kerja ku. Aku juga ingin pastikan segala gerak kerjaku sentiasa diberkati dan penuh dengan barakah...